This blog is all about sharing thought and ideas which are related to money management, financial planning, passive incomes, investing, ASB, Gold and Dinar, Real Estate, Forex, Futures, Stock, Unit Trust and etc. I'm aiming to be a smart investor and any advise and ideas are most welcomed.

Wednesday, July 30, 2008

Pebezaan Takaful dan Insurans

PENGENALAN TAKAFUL

TAKAFUL berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.

Konsep takaful ini sudah pun wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.

Takaful yang dikenali sekarang beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.

Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka. Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.

APA YANG MEMBEZAKAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS

Pada kacamata seseorang yang bukan dari bidang ini, dia akan melihat tiada perbezaan antara kedua-dua sistem tersebut. Selepas diteliti, pada asasnya perbezaannya hanyalah satu, iaitu sistem takaful berlandaskan prinsip Syariah. Akan tetapi, jika diselidiki lebih mendalam, ternyata ada banyak perbezaan antara dua sistem ini. Perbezaan-perbezaan ini boleh dikategorikan seperti berikut:

1. KONTRAK YANG DIGUNAPAKAI:

Dalam sistem takaful, kontrak yang digunapakai ialah gabungan kontrak tabarru’ (derma) dan agensi (wakalah) atau kontrak berkongsi keuntungan (mudharabah). Kontrak dalam insurans pula ialah kontrak pertukaran (jual dan beli) antara penanggung insurans dengan pelanggan (pihak yang diinsuranskan).

2. TANGGUNGJAWAB PEMEGANG

POLISI:

Peserta takaful membuat caruman ke dalam skim dan saling menjamin sesama sendiri dalam skim ini. Di bawah sistem insurans, pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insurans.

3.LIABILITI PENGENDALI TAKAFUL / PENANGGGUNG INSURANS:

Pengendali takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar manfaat daripada kumpulan wang para peserta. Risiko tidak berpindah dari peserta kepada pengendali takaful. Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang para peserta tersebut, pengendali takaful diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia memberi pinjaman (tanpa faedah) untuk menampung kekurangan berkenaan. Manakala insurans, penanggung insurans bertanggungjawab membayar manfaat insurans seperti dijanjikan dan ini akan dibayar kepada pelanggan dari wang asetnya.

4. PELABURAN KUMPULAN WANG:

Caruman yang diterima akan hanya dilaburkan dalam instrumen yang memenuhi kehendak Syariah. Bagi syarikat insurans, tiada sebarang sekatan dalam jenis pelaburan yang dibolehkan, selain sekatan yang dikenakan untuk tujuan kehematan.

Di Malaysia, industri takaful bermula sejak tahun 1985 lagi, dengan tertubuhnya Syarikat Takaful Malaysia Bhd. Ia adalah anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad. Sehingga kini, terdapat sembilan syarikat pengendali takaful yang sudah diberi lesen oleh Bank Negara Malaysia. Pada tahun 2005, penembusan pasaran atau market penetration industri takaful di Malaysia hanyalah 5.6 peratus, berbanding 38.7 peratus untuk industri insurans. Ini menunjukkan bahawa industri takaful mempunyai potensi yang amat luas yang perlu diterokai.

Perlu diingatkan bahawa ada perbezaan business model yang digunapakai oleh pengendali takaful di Malaysia kini. Dua model yang dikenali ialah ‘Model Mudharabah’ atau profit/surplus sharing dan ‘Model Wakalah’ atau agency. Pengendali yang menggunakan model mudharabah tidak memerlukan perkhidmatan ejen atau wakil untuk menjual produknya, tetapi menggunakan kakitangan syarikat untuk memasarkan produk-produknya. Model wakalah menggunakan perkhidmatan ejen atau wakil takaful untuk memasarkan produk-produknya. Terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih produk atau syarikat yang disenangi.

source : UTUSAN MALAYSIA


Read the rest of this entry >>...

Wednesday, July 16, 2008

Kesan Inflasi

Inflasi berlaku apabila, ‘kuasa beli’ yang semakin berkurangan, berbanding dengan harga barang/perkhidmatan yang semakin meningkat.

Kita ambil contoh mudah:
Pada tahun 1981, Razak tamat pengajian sebagai seorang graduan dan berjaya mendapat kerja di KL dengan gaji RM1,600 sebulan. Selepas beberapa bulan kemudian Razak membeli sebuah kereta import Mazda pada harga RM17,000 dan kemudiannya mendapatkan pembiayaan membeli rumah teres setingkat berharga RM78,000.

Hari ini, (iaitu 25 tahun kemudian), anak Razak, iaitu Alidin telah pun tamat pengajian di universiti. Gaji permulaannya adalah RM1,800, hanya lebih sedikit daripada ayahnya pada 25 tahun dahulu.

Tapi keadaan kini adalah berbeza dengan 25 tahun dahulu, kereta import rata-rata mencecah RM100,000 ke atas. Oleh itu Alidin memilih untuk membeli kereta nasional pada harga RM45,000 (lebih dua kali ganda daripada apa yang dibayar oleh ayahnya 25 tahun dahulu!). Bilamana ayahnya mampu membeli rumah setelah beberapa bulan bekerja, Alidin terpaksa mengumpul wang terlebih dahulu, memandangkan kos membeli rumah di KL memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000.

Inilah yang kita boleh simpulkan sebagai inflasi, kuasa beli berkurangan, dan dijangka ianya akan berterusan. Di kawasan bandar, inflasi mampu mencapai sehingga 6% setahun. Disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, inflasi boleh melonjak lebih tinggi lagi.

Dan apabila anda tidak membuat perancangan seawal mungkin untuk persediaan bersara, sememangnya anda bakal menemui masalah apabila bersara kelak, memandangkan kos sara hidup semakin meningkat disebabkan inflasi. Menurut kajian rata-rata wang KWSP habis dibelanjakan dalam masa 3 tahun sahaja selepas kita bersara. Dan faktanya, kebanyakan daripada kita tidak akan mampu bersara dan terpaksa bekerja kembali jika tidak mempunyai simpanan tambahan.

Seharusnya kita mempunyai persediaan secukupnya untuk persaraan, lebih-lebih lagi dengan inflasi yang semakin meningkat untuk 10 - 20 tahun yang akan datang. Mungkin kita boleh membuat simpanan di dalam amanah saham (yang Islamik) untuk jangka masa “medium to long term”, mahupun membuat pelaburan hartanah yang dapat memberi pulangan dari segi kutipan sewa (cash flow). “Price appreciaition” dari pelaburan hartanah juga mampu mengatasi dan mengekang inflasi.


*Ilustrasi yang menunjukkan sepinggan hidangan berharga RM20 pada masa sekarang akan meningkat sehingga RM64 pada 20 tahun akan datang.


Read the rest of this entry >>...