This blog is all about sharing thought and ideas which are related to money management, financial planning, passive incomes, investing, ASB, Gold and Dinar, Real Estate, Forex, Futures, Stock, Unit Trust and etc. I'm aiming to be a smart investor and any advise and ideas are most welcomed.

Wednesday, May 21, 2008

Hidup Melebihi Kemampuan

Hidup Melebihi Kemampuan (oleh RUSINAH SIRON)

SECARA rasionalnya, perspektif permikiran kita dalam melihat sikap golongan muda yang suka berbelanja dan bergaya lagak yang di luar kemampuan mereka ini bukanlah sesuatu yang baru dan menghairankan kerana ia seolah-olah sudah menjadi gaya hidup yang diterima oleh golongan muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya yang memang suka berhutang dan memberi hutang dengan mempunyai pelbagai maksud dan tujuan hidup.


Kita ambil satu contoh mudah dengan melihat senario graduan yang telah tamat belajar dari universiti atau kolej. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan yang telah tamat belajar tersebut terus diterima bekerja dengan purata gaji RM2,000 (contoh ini tidak termasuk bagi graduan yang kurang bernasib baik yang mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka capai iaitu RM800 - RM1,000).

Dengan gaji RM2,000, maka bermulalah kerjaya graduan tersebut sebagai eksekutif muda yang bekerja di bandar atau di kawasan pinggir bandar di mana mereka ditempatkan. Dengan semangat yang berkobar-kobar berserta dengan iringan doa dan kata-kata rangsangan ibu bapa, maka bekerjalah eksekutif muda tersebut dengan azam untuk membangunkan diri ke arah masa depan yang gemilang dan membantu ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban untuknya.

Tetapi setelah mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan yang positif dan negatif telah banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan tersebut telah menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang.

Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya hidup dikelilingi hutang?

Mengapa

Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan spesifik dan telus, mengapa eksekutif muda ini berhutang:

* Gaji bulanan, RM2,000

* Sewa rumah bilik, RM200 (berkongsi rumah dengan rakan).

* Ansuran kereta, RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal harga keretanya, mahallah ansuran bulanannya).

* Duit minyak dan tol, RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain).

* Makan dan minum RM500 (hanya tanggung makan sendiri dan tidak termasuk belanja rakan dan teman wanita atau belanja keluarga, kebiasaannya jarang belanja keluarga kerana belanja diri sendiripun terlepas.

* Sosial dan riadah, RM300 (urusan sosial bersama rakan dan hal peribadi, meraikan hari jadi rakan, tonton wayang, hari kasih sayanglah dan pelbagai aktiviti rehat minda bagi orang-orang muda, kononnya).

* Bayar bil, RM200 (bil api, air, telefon, bil pelbagai).

* Bayar kredit barangan RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barangan elektrik).

* Barangan peribadi, RM200 (top-up kad prabayar, barangan kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan pelbagai barangan kesukaan diri sendiri).

* Hal-hal kecemasan, RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak dan sebagainya).

* Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, simpan sedikit, lama-lama jadi bukit).

Ini tidak termasuk lagi dengan arahan “perintah bayar” daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini saja-saja buat lupa tapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan yang berkaitan dengan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang memaksa diri untuk bayar pinjaman secara minimum RM100, berapa gaji bulanan mereka yang tinggal?

* Pendapatan daripada gaji, RM2,000

* Perbelanjaan daripada gaji, RM2,750

* Baki gaji, RM - 750

Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki daripada gaji bulanan eksekutif tersebut malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu sebanyak RM750. Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa.

Cubalah bayangkan jika eksekutif tersebut mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapalah agaknya kurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak lagi termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang tidak berhenti-henti berdoa agar anak mereka mampu menghantar wang untuk membantu meringgankan perbelanjaan keluarga.

Tapi apa yang nyata, harapan tinggal harapan yang tidak kesampaian. Tambah menyedihkan lagi, anak yang diharapkan membantu keluarga setelah bekerja, malah meminta wang lagi pada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan memang tidak cukup.

Bagi eksekutif muda yang sering tidak cukup wang kerana wang memang tidak akan pernah cukup bagi mereka kerana gaya hidup mereka itu akan mula memikirkan alternatif untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan-rakan kerana malu akan dicop muka subsidi akan menjadikan kad kredit sebagai “abang long” mereka.

Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesona dan terpanalah eksekutif yang sering putus wang ini untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau dengan sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya menjadi hutang melilit pinggang.

Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah untuk dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada lima P:

1. Personaliti - peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri. Ibu dan kakaknya suka berhutang beli perabot, hutang kain, hutang pinggan mangkuk, hutang langsir sehinggalah beli alat solek pun hutang. Jadi budaya berbelanja lebih dari pendapatan yang ada dan berhutang sudah jadi amalan biasa pada dirinya, malah mendapat sokongan padu daripada keluarga.

2. Pengaruh Persekitaran - hidup mereka sentiasa di kelilingi oleh mereka-mereka yang menjadikan hutang itu sebagai gaya hidup malah rakan-rakan sendiri memberi galakan untuk berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif. Malah ada yang beri nasihat songsang pada rakan dengan mengatakan shopping and spending is a part of happiness, so go for it!. Pengaruh negatif inilah yang menjadikan seseorang itu terus lena dibuai mimpi indah di atas tilam dan sofa yang juga dibeli secara hutang di kedai perabot!

3. Promosi - institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit ini memang menyasarkan golongan muda dan berkerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit. Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk memaksa eksekutif ini menggunakan kad kredit. Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat senyum dan ketuk pintu pejabat memang menjadikan taktik-taktik promosi ini sebagai strategi untuk menarik golongan muda ini menggunakan kad kredit.

4. Pujian dan Perasan- sebagai eksekutif muda, banyak puji-pujian dan dorongan agar mereka ini terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur yang masih muda dan kerjaya yang disandang. Kerana terlena dan perasan dengan pujian tersebut, maka berlumba-lumbalah eksekutif muda wanita dan lelaki ini membeli-belah barangan berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka biar papa asal bergaya menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera!

5. Kehabisan - selalu pokai atau tidak cukup duit kerana gaya hidup mewah inilah yang menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang. Mari kita lihat gaya hidup mewah yang menyebabkan golongan muda ini terperangkap dengan dunia yang mereka cipta sendiri dan bandingkan dengan gaya hidup ala kadar yang boleh membantu mereka berjimat cermat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Bagi golongan muda khususnya, tidak salah memilih apa juga gaya hidup yang anda kehendaki tapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui, jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan, andalah yang menentukannya. Jika hidup dikelilingi hutang, banyak tekanan secara mental dan fizikal yang perlu anda hadapi. Tekanan fizikal seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda sebagai eksekutif yang baru hendak mencipta nama dalam bidang yang anda ceburi. Tekanan mental pula menjurus kepada gangguan jiwa sehingga menjadikan seseorang itu murung, beremosi yang tidak terkawal, sensitif, mengurung diri, takut pada bayang-bayang diri dan akhirnya boleh menjadi gila kerana tekanan jiwa yang dihadapi kesan daripada hutang tersebut. Jadikan diri anda debt free dan hiduplah secara ala kadar mengikut kemampuan diri.
i


Read the rest of this entry >>...

Thursday, May 8, 2008

Wang Fiat vs Dinar Emas

Apakah Wang Fiat?

Wang Fiat adalah wang kertas yang dihasilkan tanpa sandaran kepada emas, dan juga wang perakaunan seperti cek dan duit elektronik. Dengan sistem ini maka wujudlah “money creation“, di mana bank boleh memberikan pinjaman dengan jumlah yang berganda-ganda melebihi simpanan yang ada.

Wang fiat yang digunakan sekarang hanyalah bersandarkan kepada kepercayaan masyarakat dunia kepada ekonomi besar dunia seperti US, Switzerland, England dan sebagainya. Disebabkan wang fiat ini tidak bersandaran kepada "precious metal" seperti emas, maka ianya banyak terdedah kepada kelemahan seperti inflasi, "interest", krisis kredit yang melampau dan sebagainya.

Dinar Emas adalah antara alternatif untuk kita menggantikan sistem wang kertas (wang fiat) yang banyak menjurus kepada riba. Idea penggunaan Dinar Emas pernah diketengahkan oleh Tun Mahathir sebagai matawang antarabangsa bagi negara-negara Islam, bagi mengelakkan pergantungan kepada USD (Dollar Amerika) yang kerapkali tidak stabil dan menyebabkan krisis ekonomi. Namun idea ini terhenti begitu saja setelah beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Kelebihan Dinar Emas


Antara kelebihan Dinar Emas adalah emas tidak terkesan dengan inflasi, nilai yang stabil, dan ada nilai intrisik tersendiri. Untuk menghasilkan Dinar Emas ini emas perlu dilombong dan ditempa terlebih dahulu.

Wang kertas fiat pula sebenarnya bernilai sifar, ianya hanya dibezakan angka-angka yang tercetak di atasnya. Bank-bank central di dunia mengaut keuntungan besar kerana kos mencetak wang kertas yang amat minima berbanding nilai yang tertulis di atas wang tersebut.

Masalah Dinar Emas


Buat masa ini penggunaan Dinar Emas sebagai matawang adalah agak sukar dilaksanakan disebabkan perundangan antarabangsa yang melarang sebarang urusan perdagangan menggunakan emas (sebagai “legal tender“).

Dinar Emas di Malaysia


Pada 20 September 2006, negeri Kelantan telah melancarkan Dinar Emasnya sendiri yang dikenali sebagai Dinar Kelantan. Terdapat 3 dominasi iaitu 1/4, 1/2, dan juga 1 dinar. Walaupun tidak dapat dijadikan matawang, namun Dinar Kelantan ini masih boleh digunakan sebagai mas kahwin, hadiah, pembayaran zakat, harta cagaran, simpanan pelaburan dan juga urusniaga persendirian, di mana terdapat sesetengah kedai-kedai dan hotel di Kelantan yang menerima dinar ini. Selain itu Bank Negara Malaysia juga ada mengeluarkan syiling emas yang dikenali sebagai Kijang Emas. Syling emas Kijang Emas ini juga boleh didapati di Maybank dan CIMB. Selain dari syiling emas, penggunaan Gold Savings Passbook Account yang ditawarkan oleh Maybank juga boleh digunakan sebagai alternatif pelaburan melibatkan emas.


Read the rest of this entry >>...

Tuesday, May 6, 2008

Ubah Gaya Hidup

Seringkali kita terdengar orang merungut tentang harga barang yang kian menaik, harga petrol dan diesel yang meningkat dari tahun ke tahun (tahun ni tak tahu le macammana..)

Secara peribadi, rungutan saja tidak akan dapat mengubah kehidupan seseorang. Kita seharusnya bijak menangani perkara seperti ini sekiranya kita mempunyai kesedaran yang awal tentang betapa pentingnya savings, asset accumulation dan investment wise. Cuba bayangkan dengan hanya duit gaji tiap-tiap bulan yang kita dapat pun kadang-kadang agak payah untuk menampung perbelanjaan bulanan,apatah lagi nak menghadapi situasi kenaikan harga barang dan minyak??..

Oleh itu adalah penting untuk mengubah gaya hidup supaya tidak berada ditahap "HIDUP MELEBIHI KEMAMPUAN" yang mana jika berlarutan akan menyebabkan kita akan terus terperangkap dengan HUTANG (jangan sesekali pinjam dengan ALONG!!!)

Hari ini saya nak berkongsi klip video dari youtube yang berkaitan dengan gaya hidup.
Anyway, enjoy this video clips... :)






Read the rest of this entry >>...

Kesilapan Kewangan Umum

KESILAPAN KEWANGAN UMUM-Berapa Yang Anda Lakukan?
(Di petik dari buku Bijak Urus Wang Kunci Bebas Hutang)

Kesilapan 1 : Sentiasa menangguh untuk memulakan sistem perancangan.


Tidak syak lagi inilah kesilapan yang paling besar sekali. Tanyalah diri anda sendiri sudah berapa kali perkataan seperti Tak Apa, Nanti Dulu, Lepas Kahwin, Bila Anak Dah Besar, sering dijadikan alasan untuk tidak memulakan pelan kewangan seperti tabungan untuk pendidikan anak, insuran perubatan atau membuat temu-janji dengan perancang kewangan bagi membaikpulih pinjaman anda.


Kesilapan 2 : Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya.


Kita sendiri sedar yang tiada orang yang merancang untuk gagal tetapi kebanyakannya gagal untuk merancang. Mungkin sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab anda tidak mempunyai masa untuk menulis di atas kertas jawapan kepada soalan-soalan seperti :
i- Apakah 3 matlamat kewangan anda?
ii- Bila jangka masa pencapaiannya?
iii- Berapa yang perlu diperuntukkan setiap bulan?

Kesilapan 3 : Kekurangan disiplin untuk menabung secara sistematik.

Media massa sekarang ini dipenuhi dengan iklan dan propaganda bertujuan mengalakkan kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya. Tetapi patutkah media massa dipersalahkan? Apakah ada sistem atau rahsia yang boleh menyelamatkan wang kita daripada lanun-lanun seperti kad kredit, jualan murah, desakan rakan sebaya dan gaya hidup serba glamer?

Kesilapan 4 : Kejahilan tentang konsep nilai masa (time value) wang.


Semua orang tahu pasal hutang kad kredit, hutang along dan hutang pinjaman perumahan yang seolah-olah tak pernah habis dibayar dan kalau dapat dibayar pun akan mengambil masa yang lama. Berdasarkan prinsip yang sama (iaitu konsep nilai mata wang) simpanan RM100 sebulan selama 20 tahun pada kadar faedah 10 peratus setahun (kadar kad kredit ialah 18 peratus) akan menghasilkan harta RM72000. Tetapi malangnya masih ramai yang lebih suka menyimpan dengan syarikat kad kredit dan sentiasa merungut tidak cukup wang.

Kesilapan 5 : Perlindungan Insuran yang tidak mencukupi.

Apabila memulakan satu sistem simpanan untuk tujuan tertentu contohnya deposit pembelian rumah, tabung pendidikan anak, ada risiko yang boleh menyebabkan wang simpanan tersebut tiba-tiba hangus. Contohnya seperti belanja perubatan, hilang upaya bekerja , kemalangan. Bolehkah kita berserah kepada takdir semata-mata untuk memastikan matlamat kewangan kita tercapai?


Kesilapan 6 : Kegagalan menangani musuh wang yang utama iaitu inflasi


Bayangkan harga sebuku roti 10 tahun dari sekarang, atau segelas teh tarik. Kajian KWSP telah pun menunjukan bahawa duit simpanan yang diambil oleh pencarum sewaktu usia 55 tahun habis dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Anda bagaimana, apa senjata yang ada untuk melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?

Kesilapan 7 : Keengganan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah.


Kesilapan ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu memperkenalkan skim cepat kaya, pembelian insuran dan unit trust yang tidak sesuai dan penggunaan wang KWSP yang tidak berpadanan dengan profil penyimpan. Semua orang tahu bila sakit harus jumpa doktor bukan peguam. Begitu juga kalau ada kes undang-undang jumpa peguam bukan doktor. Tidakkah logik untuk meminta khidmat nasihat seorang penasihat kewangan bagi mengatasi dilemma kewangan anda?

TINDAKAN SUSULAN!!!

Wahai pembaca budiman, diharapkan anda sekarang tahu di mana kesilapan anda. Seterusnya saya cadangkan supaya anda betulkan sebarang kesilapan di atas dan ambil tindakan sama ada merancang sendiri atau membuat temu janji dengan seorang penasihat kewangan bertauliah.


Read the rest of this entry >>...

Melayu Masih Lemah Sistem Kewangan

Oleh: LUKMAN MOIDIN - Utusan Malaysia - 19 Mac 2007

APABILA timbul skim cepat kaya dan pelaburan menerusi Internet, orang Melayu yang paling ramai berhimpun mendengar cerita dan sanggup menghabiskan wang untuk menyertainya.Sedangkan orang Melayu tidak pernah mempersoalkan di mana wang itu dilaburkan dan siapa yang menguruskan dana tersebut. Betapa singkatnya minda bangsa kita untuk mendapatkan wang dengan cara mudah hanya dengan menaja beberapa orang kononnya akan mendapat pulangan yang lumayan.


Tetapi apabila terdapat sistem kewangan yang dipantau oleh kerajaan, kebanyakan kita mempersoalkan halal dan haram dan perkara remeh yang sengaja diperbesarkan untuk menyempitkan minda bangsa sendiri.

Dalam membicarakan soal-soal kewangan, orang Melayu agak jauh ketinggalan dalam sistem kewangan seperti bidang insurans, unit amanah dan lain-lain produk kewangan yang mendapat kelulusan kerajaan dan di bawah pemantauan Bank Negara.

Kelemahan ini wujud hampir di semua lapisan masyarakat Melayu dari yang berpendidikan tinggi hingga kepada mereka yang berpendidikan rendah. Amat mendukacitakan untuk mengakui bahawa hampir 80 peratus golongan profesional Melayu masih kurang memahami mengenai sistem perancangan kewangan yang boleh membantu menjana ekonomi keluarga mereka.

Sikap tertutup bangsa Melayu seperti ‘katak bawah tempurung’ masih tebal dalam soal membicarakan pengurusan kewangan khususnya melalui penasihat kewangan yang bertauliah. Malah keadaan ini juga mungkin disebabkan sikap negatif diri mereka sendiri (paling ramai) dan kemungkinan sikap ajen dan penasihat kewangan yang tidak profesional dan beretika.

Dalam membina kekuatan ekonomi, tugas perunding kewangan insurans dan wakil takaful adalah sangat penting demi memberikan pemahaman yang baik untuk bangsa kita mengubah paradigma dalam pengurusan kewangan.

Namun kekesalan utama bidang kewangan ini ialah apabila ada wakil takaful menjalankan tugas tanpa etika profesional semasa berurusan dengan pelanggan. Apa yang berlaku di depan mata menyebabkan penulis terfikir mengenai sistem dan amalan perniagaan takaful yang kononnya ‘Islamik’ adalah benar-benar tidak beretika.

Daripada 10 penasihat takaful yang ada, saya berani mengatakan hanya seorang dua daripada mereka menjual produk syarikat dengan profesional, dan selebihnya memburukkan syarikat insurans konvensional dengan pelbagai tohmahan kononnya haram dan tidak Islam. Malah di kalangan penasihat takaful juga mereka memburukkan syarikat takaful yang lain demi menambat hati pelanggan.

Untuk pengetahuan, ramai penasihat takaful berhijrah dari sebuah syarikat ke syarikat takaful yang lain demi mengejar komisen dan ganjaran. Apa yang berlaku ini adalah realiti yang menjejaskan reputasi takaful yang dilihat sebagai sistem kewangan Islam. Malah pemegang polisi menjadi mangsa apabila wujud pelbagai masalah yang berlaku disebabkan sikap penasihat takaful yang mementingkan diri sendiri.

Bank Negara melalui badan khas yang mempunyai kuasa perlu menyiasat bagaimana begitu ramai pelanggan insurans konvensional yang menamatkan polisi mereka melalui usaha wakil takaful yang bermoral rendah ini. Terdapat banyak bukti pelanggan dihasut dan diminta menulis surat memberhentikan polisi yang telah dibayar bertahun-tahun kerana dikatakan ‘haram’ menggunakan wang tersebut.

Sepatutnya menjadi dasar Bank Negara untuk bertindak tegas jika amalan ini dikesan. Maklumat atau info insurans yang dikeluarkan oleh BNM melalui kerjasama syarikat insurans dan takaful di dada-dada akhbar yang tertulis “Membeli polisi insurans hayat, jangan jadi mangsa kepada penukaran polisi” jelas tidak diendahkan oleh kebanyakan wakil takaful. Adakah info tersebut hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan tiada usaha konkrit menanganinya? Kita bimbang jika industri kewangan ini terjejas pastinya merugikan ramai pemegang polisi dan kaum keluarga mereka jika terjadi sesuatu.

Keutuhan sistem kewangan juga secara tidak langsung akan terjejas akibat sikap penasihat takaful yang sebegini.

Apa yang tidak diketahui oleh pemegang polisi insurans konvensional ialah kebanyakan sistem konvensional telah lama mematuhi pelaburan berasaskan syarak. Malah hal-hal yang meragukan seperti riba tidak lagi menjadi amalan syarikat insurans konvensional kini. Paling terbukti ialah sistem takaful sehingga hari ini masih tidak dapat menanding operasi insurans konvensional yang jauh cekap dan efisien.

Malah rungutan mengenai masalah tuntutan adalah amat minimum berbanding surat pembaca yang terpampang di akhbar dan banyak lagi masalah yang sebenarnya tidak diadukan secara terbuka. Inilah natijah yang ditanggung oleh operasi takaful kerana sikap tidak beretika wakil mereka dalam urusan menambat hati pelanggan.

Pengalaman seorang rakan yang pernah menjadi ajen insurans konvensional dan dipujuk menyertai sebuah syarikat takaful menjadi asas dan bukti kukuh apa yang sedang berlaku dalam industri takaful. Setelah mendaftar dan lulus sebagai ajen beliau telah menghadiri sesi penerangan dan mesyuarat oleh agensi takaful berkenaan selama beberapa minggu.

Akhirnya beliau mengambil keputusan menjalankan semula perniagaan insurans konvensional apabila mendapati ‘modal besar’ syarikat tersebut memasarkan produk mereka ialah dengan memburukkan insurans konvensional. Persoalannya adakah mereka ini benar-benar memahami sistem insurans konvensional.

Paling menyedihkan kebanyakan orang Melayu difahamkan bahawa maksud ‘konvensional’ adalah ‘haram’. Sedangkan merujuk Kamus Dewan, ‘Konvensional’ bermaksud sesuatu amalan, ciri-ciri atau lain-lain yang sudah diiktiraf secara meluas dan dipatuhi.

Seperti yang dinyatakan dalam satu dalil “ Janganlah engkau menghukum tanpa ilmu, kelak engkau akan menganiaya orang lain.”

Sudah sampai masanya Bank Negara mengambil tindakan proaktif terhadap amalan niaga wakil takaful seperti ini agar mereka tidak menjadikan amalan ini sebagai budaya kerja syarikat takaful yang semakin ketara. Sikap mereka yang seronok memburukkan pihak lain tidak pernah diajar dan dibenarkan dalam Islam. Apakah rezeki yang mereka peroleh dengan usaha ‘memijak’ orang lain mempunyai keberkatan ?

Adalah amalan niaga yang berunsur kotor seumpama ini dapat meningkatkan kefahaman orang Melayu terhadap sistem dan pengurusan kewangan yang berkesan. Lihatlah teras dan amalan niaga bangsa lain yang mengutamakan kepuasan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang memuaskan.

Jarang sekali kita mendengar sikap ‘menghentam’ orang lain dalam budaya niaga mereka. (Rujuk buku Rahsia Bisnes Orang Cina – Ang Wang Seng).

Orang Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam wajar mengubah budaya ini dalam segenap kontek khususnya dalam bidang ekonomi, perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Amalan bermoral dan membina kekuatan peribadi dalam kontek modal insan yang dibina dalam diri sendiri dan seterusnya masyarakat Melayu perlu terus diterapkan dan diingatkan sesama kita.


Read the rest of this entry >>...

Sunday, May 4, 2008

Panduan Kepada Pembeli Rumah

Beberapa Aspek Penting bagi Pembeli Rumah

Sebelum anda membuat keputusan bagi membeli rumah, sila pastikan yang Pemaju Perumahan mempunyai lesen yang sah dan masih lagi berkuatkuasa serta mempunyai permit iklan dan jualan yang sah dan masih lagi berkuatkuasa

Kenal Pasti Jenis Rumah

Surat Perjanjian Jual dan Beli (SPJB) untuk tanah dan bangunan (landed property) seperti rumah banglo, rumah berkembar dan rumah teres ialah 24 bulan. SPJB untuk bangunan yang dipecahbahagikan (Building intended for subdivision) seperti kondominium, rumah pangsa, apartment dan rumah bandar ialah 36 bulan.

Pembeli adalah dinasihatkan mendapatkan brosur/risalah secara percuma daripada pemaju di mana di dalamnya terdapat semua maklumat penting projek termasuk nombor lesen, permit dan sebagainya.
Status Tanah

Pastikan status tanah sama ada:-

* Hakmilik Kekal - bermakna selama-lamanya kekal.
* Pajakan – pastikan baki pajakan tamat pada tarikh pembelian.
* Rezab Melayu.

* Semakan mengenai status tanah ini boleh dibuat secara carian di Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftar Negeri.


Maklumat Brosur

Brosur diberi percuma oleh pemaju dan pastikan kandungan brosur mempunyai maklumat berikut:-

1.Nombor lesen pemaju perumahan dan tarikh sah laku;

2. Nombor permit iklan dan jualan dan tarikh sah laku;

3. Nama dan alamat:
i) Pemaju perumahan berlesen
ii) Ejen-ejen yang diberi kuasa (jika ada)
iii)Pemegang surat kuasa wakil (jika ada)
iv)Syarikat pengurusan projek (jika ada)

4. Status tanah:
i) Bebas
ii) Pajakan - pastikan tarikh tamat pajakan
iii)Bebanan – sama ada telah dicagarkan kepada bank untuk pinjaman.

5. Dekripsi kedudukan
i) Spesifikasi bahan binaan rumah
ii)Luas bangunan
iii)Kemudahan/perkhidmatan

6. Nama projek perumahan, jika ada;

7.Tarikh projek perumahan dijangka siap;

8.Harga jualan setiap jenis rumah;

9. Bilangan unit setiap jenis yang ada; dan

10.Nama Pihak Berkuasa Tempatan yang meluluskan pelan-pelan bangunan dan nombor rujukannya.



Hak dan Kepentingan Pembeli dalam Perjanjian Jual dan Beli Rumah

Perlu difahami isi perjanjian Jual dan Beli rumah sepertimana JADUAL G dan H yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.


Bayaran Pertama


Pembeli perlu menandatangani SPJB pada masa pembayaran pertama 10% harga rumah dibayar kepada pemaju. Pastikan tarikh bayaran pertama dan SPJB adalah tarikh yang sama.

Untuk makluman pemaju tidak boleh mengutip apa-apa bayaran dengan nama apa pun tanpa suatu Surat Perjanjian Jual dan Beli.


Perakuan Arkitek


Pastikan apa-apa tuntutan bayaran ansuran kepada pemaju disokong dengan satu perakuan yang ditandatangani oleh Arkitek atau Jurutera Pemaju yang bertauliah.


Faedah Yang Dikenakan


Sekiranya pembeli atau pembiayaan (End Financier) pembeli gagal membayar bayaran ansuran dalam tempoh 21 hari bekerja dari tarikh menerima notis bertulis bayaran, pembeli akan dikenakan faedah oleh pemaju yang dikira dari hari ke hari atas kadar 10% setahun ke atas ansuran yang tidak berbayar.


Pembatalan Perjanjian Jual dan Beli

Sila ambil ingatan bahawa kegagalan pembeli membayar bayaran ansuran dan faedah yang dikenakan bagi suatu tempoh melebihi 28 hari, pemaju boleh menamatkan perjanjian Jual dan Beli. Pemaju hendaklah menghantar Surat Berdaftar A.R. kepada pembeli tentang hasratnya membatalkan Perjanjian Jual dan Beli.


Bayaran Penyelenggaraan Infrastruktur


Pembeli hendaklah membayar kos penyenggaraan infrastruktur dari tarikh pemilikan kosong sehingga masa penyenggaraan infrastruktur diambil alih oleh Pihak Berkuasa Berkenaan atau Perbadanan Pengurusan (bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi.

Infrastruktur yang dimaksudkan ialah:

a) Bagi tanah dan bangunan
.: Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi pemajuan perumahan berkenaan.

b) Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi
.: Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi bangunan berkenaan.


Bayaran Penyelenggaraan Perkhidmatan

Mulai dari tarikh pemilikan kosong pembeli hendaklah membayar bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut:-

Bagi tanah dan bangunan
(i) Perkhidmatan pungutan sampah, pembersihan parit-parit awam, pemotongan rizab jalan.

(ii) Bayaran ini wajib dibayar hanya sehingga perkhidmatan ini diambil alih oleh Pihak Berkuasa Yang Berkenaan.

(iii) Pembelii hendaklah membayar pendahuluan sebanyak 6 bulan pada masa mengambil pemilikan kosong. Sekiranya selepas 6 bulan, perkhidmatan ini masih belum di ambil alih Pihak Berkuasa Yang Berkenaan, apa-apa pembayaran selepas itu hendaklah dibayar secara pendahuluan bulanan.

Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi
(i) Bayaran perkhidmatan adalah bagi penyenggaraan dan pengurusan harta bersama dan pembayaran bermula apabila pemilikan kosong diambil.

(ii) Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan bagi perkhidmatan penyenggaraan ini dan apa-apa bayaran kemudian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.

(iii) Bayaran perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar kepada pemaju daripada tarikh pemilikan kosong sehingga penubuhan suatu perbadanan pengurusan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.

(iv) Apabila Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) di tubuhkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, perkhidmatan penyenggaraan akan diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan ini dan pembeli adalah wajib membayar perkhidmatan penyenggaraan kepada Perbadanan ini dan bukan lagi kepada pemaju.

Ingatan:-
Pembeli perlu mengambil ingatan bahawa perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar selagi pembeli adalah pemilik petak dalam bangunan yang diselenggarakan.


Kumpulan Wang Penjelas (Sinking Fund)


Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi sahaja.

Pembeli hendaklah pada tarikh mengambil pemilikan kosong petak mencarum kepada kumpulan wang penjelas suatu amaun yang sama dengan sepuluh peratus (10%) daripada bayaran perkhidmatan.

Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Penjelas mulai tarikh pemilikan kosong dan selepas itu caruman yang sedemikian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.


Bayaran Cukai Tanah, Cukai Taksiran dan Lain-lain


Mulai dari tarikh Pemilikan Kosong atau tarikh harta dipindahmilik mengikut mana yang terdahulu, pembeli adalah bertanggungjawab membayar cukai tanah, kadaran, cukai taksiran dan bayaran-bayaran lain berkenaan dengan harta yang dibeli.


Tempoh Pemilikan Kosong


Pemilikan kosong bangunan dengan bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan hendaklah diserahkan kepada pembeli dalam tempoh 24 bulan kalendar dari tarikh Perjanjian (bagi tanah dan bangunan) dan 36 bulan (bagi bangunan yang dipecahbahagi).


Syarat-Syarat dan Hak Pembeli Semasa Penyerahan Pemilikan Kosong (VP)

Pastikan harta bebas daripada sebarang bebanan semasa menerima notis penyerahan pemilikan kosong.

Sekiranya pemaju memajak tanah atau harta, minta pemaju selesaikan baki yang ada semasa penyerahan pemilikan kosong.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi:-

(i) Perakuan dikeluarkan oleh Arkitek Pemaju yang mengesahkan:
a. Bangunan tersebut telah siap.
b. Bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan.
(ii) Pemaju telah memohon:
a. Pengeluaran CFO melalui Borang E *
b. PBT telah mengeluarkan surat perakuan bahawa Borang E telah disemak dan diterima oleh PBT.

* Borang E adalah permohonan daripada Arkitek pemaju kepada
PBT untuk pengeluaran CFO.

Pembeli hanya boleh menduduki rumah apabila CFO sudah dikeluarkan oleh PBT dan kerja-kerja mengubah suai rumah hanya dibenarkan selepas mendapat CFO serta kelulusan pelan oleh PBT berkenaan.

Semasa pemeriksaan bangunan, sebarang kecacatan sahih direkodkan dan diserahkan kepada pemaju untuk tujuan pembaikan. Pastikan anda mendapat salinan aduan.

Pembeli berhak menuntut ke atas kelewatan pemaju menyiapkan rumah.


Bayaran Gantirugi

Sekiranya pemaju gagal menyerahkan Pemilikan Kosong Bangunan pada masa yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual dan Beli, pemaju hendaklah membayar kepada pembeli gantirugi yang dikira dari hari ke hari dengan kadar 10% setahun daripada harga beli rumah.


Read the rest of this entry >>...