This blog is all about sharing thought and ideas which are related to money management, financial planning, passive incomes, investing, ASB, Gold and Dinar, Real Estate, Forex, Futures, Stock, Unit Trust and etc. I'm aiming to be a smart investor and any advise and ideas are most welcomed.

Tuesday, May 6, 2008

Kesilapan Kewangan Umum

KESILAPAN KEWANGAN UMUM-Berapa Yang Anda Lakukan?
(Di petik dari buku Bijak Urus Wang Kunci Bebas Hutang)

Kesilapan 1 : Sentiasa menangguh untuk memulakan sistem perancangan.


Tidak syak lagi inilah kesilapan yang paling besar sekali. Tanyalah diri anda sendiri sudah berapa kali perkataan seperti Tak Apa, Nanti Dulu, Lepas Kahwin, Bila Anak Dah Besar, sering dijadikan alasan untuk tidak memulakan pelan kewangan seperti tabungan untuk pendidikan anak, insuran perubatan atau membuat temu-janji dengan perancang kewangan bagi membaikpulih pinjaman anda.


Kesilapan 2 : Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya.


Kita sendiri sedar yang tiada orang yang merancang untuk gagal tetapi kebanyakannya gagal untuk merancang. Mungkin sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab anda tidak mempunyai masa untuk menulis di atas kertas jawapan kepada soalan-soalan seperti :
i- Apakah 3 matlamat kewangan anda?
ii- Bila jangka masa pencapaiannya?
iii- Berapa yang perlu diperuntukkan setiap bulan?

Kesilapan 3 : Kekurangan disiplin untuk menabung secara sistematik.

Media massa sekarang ini dipenuhi dengan iklan dan propaganda bertujuan mengalakkan kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya. Tetapi patutkah media massa dipersalahkan? Apakah ada sistem atau rahsia yang boleh menyelamatkan wang kita daripada lanun-lanun seperti kad kredit, jualan murah, desakan rakan sebaya dan gaya hidup serba glamer?

Kesilapan 4 : Kejahilan tentang konsep nilai masa (time value) wang.


Semua orang tahu pasal hutang kad kredit, hutang along dan hutang pinjaman perumahan yang seolah-olah tak pernah habis dibayar dan kalau dapat dibayar pun akan mengambil masa yang lama. Berdasarkan prinsip yang sama (iaitu konsep nilai mata wang) simpanan RM100 sebulan selama 20 tahun pada kadar faedah 10 peratus setahun (kadar kad kredit ialah 18 peratus) akan menghasilkan harta RM72000. Tetapi malangnya masih ramai yang lebih suka menyimpan dengan syarikat kad kredit dan sentiasa merungut tidak cukup wang.

Kesilapan 5 : Perlindungan Insuran yang tidak mencukupi.

Apabila memulakan satu sistem simpanan untuk tujuan tertentu contohnya deposit pembelian rumah, tabung pendidikan anak, ada risiko yang boleh menyebabkan wang simpanan tersebut tiba-tiba hangus. Contohnya seperti belanja perubatan, hilang upaya bekerja , kemalangan. Bolehkah kita berserah kepada takdir semata-mata untuk memastikan matlamat kewangan kita tercapai?


Kesilapan 6 : Kegagalan menangani musuh wang yang utama iaitu inflasi


Bayangkan harga sebuku roti 10 tahun dari sekarang, atau segelas teh tarik. Kajian KWSP telah pun menunjukan bahawa duit simpanan yang diambil oleh pencarum sewaktu usia 55 tahun habis dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Anda bagaimana, apa senjata yang ada untuk melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?

Kesilapan 7 : Keengganan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah.


Kesilapan ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu memperkenalkan skim cepat kaya, pembelian insuran dan unit trust yang tidak sesuai dan penggunaan wang KWSP yang tidak berpadanan dengan profil penyimpan. Semua orang tahu bila sakit harus jumpa doktor bukan peguam. Begitu juga kalau ada kes undang-undang jumpa peguam bukan doktor. Tidakkah logik untuk meminta khidmat nasihat seorang penasihat kewangan bagi mengatasi dilemma kewangan anda?

TINDAKAN SUSULAN!!!

Wahai pembaca budiman, diharapkan anda sekarang tahu di mana kesilapan anda. Seterusnya saya cadangkan supaya anda betulkan sebarang kesilapan di atas dan ambil tindakan sama ada merancang sendiri atau membuat temu janji dengan seorang penasihat kewangan bertauliah.

1 comment:

Sunthara said...

Buku tersebut hasil kompilasi artikel saya dalam Mingguan Wanita. Saya juga menulis 3 lagi buku berkaitan kewangan seperti yang disenaraikan di bawah.Boleh dipesan atau dibeli dari MPH, Popular atau terus dari penerbit PTS.

Sunthara Segar
CFP,RFP
Writer,Marketing and Copywriting Consultant
http://ilmudigital.blogspot.com
Kolumnis Ruangan Mengurus Kewangan Mingguan Wanita
Penulis Buku PTS Siri Pengurusan Kekayaan:
1) Kerjaya Perancangan Kewangan Peribadi
2) Rahsia Melabur Dalam Unit Amanah
3) Rahsia Mengurus Insurans Hayat